Tuesday, 12 September 2017
Pak pandir dan belalang rusa
Pada suatu hari,Mak Andeh mengidam ikan untuk makan tengahari.Dia yang baru 2 minggu mengandung itu,sangat teringin untuk makan berlaukkan ikan.Dia sudah bosan asyik berlaukkan paku pakis dan rebung buluh.
"Pandir?,aku rasa teringin sangat nak makan ikan.Tolonglah pergi memancing pagi ini.Dapat seekor dua ikan pun sudah memadai.",katanya kepada Pak Pandir yang masih mamai sebab baru bangun dari tidur itu.
Pak Pandir menguap lalu meregang-regangkan badannya.Cahaya matahari baru sahaja muncul samar-samar.Rasa sejuk akibat embun pagi masih terasa.
"Baiklah Andeh.Tapi aku tidak tahu mahu memberi apa sebagai umpan.",katanya sambil menenyehkan matanya yang masih 'berkarat' dengan tahi mata.
Mak Andeh tersenyum.Gembira rasa hati apabila Pak Pandir tidak membantah permintaanya.
"Umpan banyak.Tapi yang paling senang,dalam perjalanan ke sungai nanti kau tangkap saja belalang rusa.Ikan gemarkan belalang rusa dan cacing.",balas Mak Andeh lalu segera mengambil joran didapur dan diserahkan kepada Pak Pandir.
Dia tidak mempelawa suaminya itu bersarapan seperti biasa kerana dia sudah tidak sabar untuk meratah ikan segar.Pak Pandir hanya mengangguk.Perlahan-lahan langkah diaturkan keluar rumah.Perut yang lapar dibiarkan sahaja kerana tidak mahu menghampakan permintaan isterinya itu.
Dalam perjalanan ke sungai yang kira-kira 2 kilometer dari rumah Pak Pandir asyik menghafal nama 'Belalang rusa' berkali-kali sehinggalah yang melekat dalam fikirannya hanya nama 'Rusa'.Joran ditangannya dipegang kemas.Belalang rusa yang begitu banyak diatas daun-daun keladi di tepi jalan tidak dihiraukannya kerana umpan yang disuruh Mak Andeh ambil tadi adalah 'Rusa' fikirnya.
Dia sudah lupakan 'Belalang'.Sebaik sahaja tiba di sungai kelihatan seekor rusa asyik meminum air tanpa menyedari kehadirannya. Pak Pandir begitu gembira kerana 'umpannya' untuk memancing sudah ada didepan mata.
Tanpa membuang masa,Pak Pandir sepantas kilat menangkap rusa tadi lalu mengikat kakinya menggunakan akar yang berdekatan.
"Kau akan ku jadikan umpan wahai encik rusa.Harap-haraplah aku dapat ikan yang besar.Tentu Andeh gembira nanti.",kata Pak Pandir girang lalu mencangkukkan mata kail pada belakang rusa itu sebelum dilemparkan ke sungai.Dia kemudiannya melabuhkan punggung keatas tanah sambil menunggu 'umpannya' itu dimakan ikan.
Rusa yang kesakitan dan hampir lemas itu asyik berbunyi dan meronta-ronta untuk melepaskan diri.Pak Pandir panik.Dia bimbang bunyi dan rontaan rusa itu akan menghalau ikan-ikan disungai itu.Pantas dia bangun.
"Jangan bising kau rusa!.Duduk saja diam-diam.Nanti kalau dah dapat ikan aku lepaskanlah kau semula.Tolonglah aku.",kata Pak Pandir separuh merayu.Dia merasakan harapan untuk menangkap ikan sudah tipis kerana ' umpannya' itu asyik mengeluarkan bunyi bising.
"Apa yang kau buat ni Pandir?",soal Mak Andeh bersama sebungkus ubi rebus ditangan.Dia rasa serba salah kerana membiarkan suaminya itu keluar memancing tanpa bersarapan terlebih dahulu awal pagi tadi lalu memutuskan untuk membawa sarapan untuk suaminya itu.
Namun sebaik sahaja sampai, dia terkejut apabila melihat suaminya itu sedang duduk 'memancing' berumpankan seekor rusa yang sudah kelihatan hampir lemas. Pak Pandir segera menoleh.
"Aku memancing dari tadi tetapi rusa ni asyik menjerit saja.",katanya serba salah.Fikirnya Mak Andeh akan kecewa dengannya.Mak Andeh menggeleng-gelengkab kepalanya.Kebodohan Pak Pandir kadangkala sangat menyebalkan.
Mak Andeh meletakkan bungkusan ubi tadi ke tanah.
"Kalau sudah ada rusa untuk apa lagi mencari ikan?.Rusa ini sudah cukup untuk lauk sebulan ini kalau disalai.",kata Mak Andeh perlahan.Pak Pandir mengaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.Dia bingung memikirkan kata-kata Mak Andeh.
"Bukankah pagi tadi kau suruh aku memancing berumpankan rusa??",Soalnya inginkan kepastian.Mak Andeh mengeluh.
"Sudahlah Pandir.Keluarkanlah rusa itu dari air untuk disembelih.Aku tidak perlu ikan lagi kalau sudah ada rusa.Dagingnya juga sedap.",balas Mak Andeh lalu merampas joran ditangan Pak Pandir.Dia menarik joran tersebut berhati-hati supaya tidak patah.
Pak Pandir yang kebingungan turut serta menolong isterinya menarik joran ke tebing.
"Nah!.Kau bawa balik ni rusa buat lauk kita sebulan ini.Nanti sudah kau sembelih kita salai.Lagi satu,yang aku cakapkan untuk buat umpan pagi tadi belalang rusa.Bukannya rusa.",sempat Mak Andeh berkata setelah rusa yang dibuat umpan tadi sudah berada ditebing sungai.
Dia mengambil kembali bungkusan ubi yang dibawa buat bekal Pak Pandir sebentar tadi sebelum melangkah pulang tanpa pamit.Pak Pandir menepuk dahinya kuat.Dia marah dengan kebodohan dirinya sendiri.Rusa tadi dipandang sebelum dia mengeluh berat.
"Belalang rusa.Bukannya rusa.Aduhai Pandir-Pandir..",katanya lalu mengangkat rusa tadi sebelum memikul membawanya pulang.Jorannya ditinggalkan sahaja disitu setelah mengeluarkan mata kail dari belakang si rusa.
Walaupun tidak mendapat ikan pada hari itu,namun dia sangat bersyukur menangkap tangkapan yang lebih besar.Seperti kata Mak Andeh tadi,kalau sudah disalai daging rusa itu dapat dijadikan lauk untuk sebulan.Maka tamatlah ceritera Pak Pandir dan Belalang rusa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
pier
ReplyDeleteMantap....best cerita ni
ReplyDelete