Friday, 15 September 2017

Arnab dan Kura-Kura


    Pada zaman dahulu,disebuah hutan tebal terdapat seekor arnab yang sangat angkuh dan bongkak.Dia terkenal kerana sering memperlekehkan binatang-binatang yang lain didalam hutan itu.Dia sering membuat masalah kemana sahaja dia pergi.

     Pada suatu hari,Arnab yang kebosanan mencari mangsa usikkannya.Dia begitu bosan kerana sudah sehari dia tidak
menganggu binatang-binatang lain kerana mereka menghindarkan diri darinya.Walaupun terkadang berselisih dengan harimau dan beruang,namun dia tidak berani menganggu mereka.Dia hanya berani menggangu binatang-binatang yang kecil dan tidak ganas.

     Setelah lama berjalan,Arnab keletihan lalu merehatkan diri dibawah sepohon pokok yang besar.Dia sudah puas mencari namun tiada satu pun binatang kecil yang dijumpainya.Arnab berasa sangat kecewa.Walaupun begitu,kekecewaan Arnab tidak berpanjangan kerana seekor Kura-Kura muncul dan berjalan kearah bertentangan dengannya.Arnab terus kembali ceria.
 
     "Kau rupanya Kura-Kura.Aku ingatkan batu tadi.Yalah,kau kan perlahan sangat bergerak manalah aku tahu kau haiwan.Dah dekat ni baru aku perasan.",kata Arnab sempat menyindir Kura-Kura.

     Kura-kura hanya mampu mengeluh.Dia tahu sangat akan perangai Arnab.Kura-Kura meneruskan perjalanan tanpa berniat untuk menjawab kata-kata Arnab.Dia tahu yang dia tidak akan menang bila berperang mulut dengan binatang yang seekor itu.  

    Arnab mengerutkan wajahnya apabila kura-kura kelihatan begitu bersahaja tanpa memperdulikan kata-katanya.
   "Aku ingatkan kau bergerak perlahan je selama ni.Tapi selain lembab,kau ni pekak juga rupanya.Malangnya nasib kau Kura-Kura.Sudahlah lembab,pekak pula tu!",kata Arnab lagi.Sengaja dia berkata begitu untuk menyakitkan hati Kura-Kura.

     Kura-Kura menghentikan langkahnya.Pandangan dihalakan kepada si Arnab yang sudah tersengih-sengih puas hati kerana berjaya mengalih perhatiannya itu.
     "Sudah-sudahlah menggangu binatang lain Arnab.Kau tak rasa bosan ke asyik menyakitkan hati binatang lain hari-hari??",Soal Kura-Kura sedikit marah.

    Arnab tertawa menyindir.Soalan Kura-Kura kedengaran begitu melucukan baginya.
    "Bosan??!..Hei!!..Aku lebih bosan kalau tak ganggu korang tau?!!.Binatang-binatang lemah macam korang ni,memang patut dijadikan bahan mainan untuk kami yang lebih kuat dan gagah!",tempelak Arnab kasar.

     Kura-Kura mulai hilang sabar.Selama ini dia hanya membiarkan sahaja Arnab berbuat sesuka hatinya namun nampaknya,Arnab perlu diajar.Kura-Kura menjeling Arnab dengan pandangan sinis.
 
    "Kuat dan gagah??!..Hahaha..Badan macam ni dikatakan kuat dah gagah??!.Memang perasan betullah kau ni Arnab.Yang boleh dikatakan gagah tu,Harimau.",sindir Kura-Kura berani.

    Dia tahu kalau Arnab memukulnya sekalipun,dia tidak akan berasa sakit.Cengkerang dibelakangnya sudah cukup keras untuk dijadikan perisai melindungi tubuhnya.Arnab merengus marah.

     Kura-Kura tersenyum melihat perubahan wajah bongkak Arnab.Dia yakin yang binatang itu sangat marah sekarang,namun dia sedikit pun berasa takut.
   "Kurang ajar kau Kura-Kura.Dah pandai menjawab ya?!..sekurang-kurangnya aku pantas berlari.Kau,apa kau ada?!!",marah Arnab.Mahu saja dia mencekik leher Kura-Kura namun disabarkan hatinya.Kura-kura ketawa perlahan.
 
    "Aku memang tak pantas berlari tapi aku boleh hidup dua alam.Aku boleh hidup kat darat tapi aku juga boleh hidup kat air.Kau dapat??.Lagi satu kalau hujan lebat sekalipun,aku tak perlu susah-susah cari tempat berlindung tau??!.Aku boleh masuk je dalam cengkerang aku ni.Dah selamat.Kau ada??!!",balas Kura-Kura sinis lalu kembali meneruskan perjalanannya sambil bernyanyi riang.Lapang hatinya kerana
berjaya mengenakan Arnab hari ini.

     Arnab yang mendengar kata-kata Kura-Kura tadi terus berasa malu.Dia terlalu riak dengan kebolehan diri sendiri hingga terlupa yang setiap binatang yang lain jug ada kelebihannya tersendiri.

      0leh kerana berasa sangat malu,Arnab terus menghilangkan diri ke dalam hutan belantara yang tebal tanpa kelihatan dimana-mana lagi.Sepeninggalan Arnab,binatang-binatang kecil dan lemah dihutan itu kembali gembira dan tenang.Mereka boleh menjalani kehidupan sehari-hari tanpa ada gangguan lagi.

2 comments: