Thursday, 28 September 2017

Cerita Sumpahan Katak


   Pada Zaman dahulu,orang-orang kampung selalu menuba ikan beramai-ramai pada musim kemarau.Mereka menuba sekali setiap tahun.Hasil tangkapan akan dibagi-bagi kepada semua penduduk kampung sama rata.

    Pada suatu hari,orang-orang kampung mula menyediakan alatan,perahu dan tuba untuk menuba seperti tahun-tahun sebelumnya.Pada kesibukkan mereka menyediakan semua kelengkapan,sekumpulan anak remaja mengusik seekor katak.

     0leh kerana semua orang dewasa sedang sibuk,mereka tidak sempat memantau anak-anak mereka dan mengingatkan mereka jangan mengusik binatang-binatang terutamanya Katak.

   Anak-anak remaja tadi telah mengikat tubuh katak tersebut dengan kain yang kelihatan seolah-olah bajunya.Selain itu mereka juga memberinya rantai leher yang diperbuat dari tali.Setelah itu,mereka bersorak riang dan bertepuk tangan.Katak yang tidak selesa dengan bunyi bising itu melompat-lompat cuba melarikan diri dari kerumunan anak-anak remaja itu.

  Melihatkan hal itu,mereka terus tertawa geli hati.Bagi mereka ,dengan rantai leher dan kain yang diikat pada tubuh si katak itu dia kelihatan semakin lucu.Tidak lama selepas itu,cuaca terus mendung dan berangin kencang.

    Penduduk kampung mulai sedar bahawa sesuatu yang berbahaya sedang berlaku.Mereka segera berlari mencari tempat perlindungan.Semakin lama angin semakin kuat disertai guruh yang kuat bergema.Cuaca pula makin gelap.

      Jauh dari kampung itu,terdapat sebuah keluarga yang tinggal di ladang untuk menebas meluaskan lagi kawasan ladang.Keesokan harinya,mereka pulang ke kampung untuk membeli beras.Namun sebaik sahaja sampai dikampung,Semua rumah dan orang kampung sudah bertukar menjadi batu.

    Di antara orang-orang yang telah bertukar menjadi batu itu,kelihatan seekor katak yang diikat menggunakan kain merah dan berantai tali mati dihempap batu.Keluarga tersebut akhirnya faham,mengapa semua kejadian itu berlaku dan meninggalkan kampung itu untuk memulakan kehidupan baharu.

    Walaupun kejadian itu sudah lama berlaku dan kampung yang telah disumpah itu sudah pun lenyap namun orang-orang tua masih sangat tegas melarang anak cucu mereka mengusik dan mentertawakan binatang sekali lagi.

No comments:

Post a Comment